Penyerang pasang lagu ‘Penyembelih Bosnia’

Tarrant turut melepaskan tembakan dari dalam kenderaannya semasa meninggalkan lokasi serangan.

WELLINGTON – NEW ZEALAND. Brenton Tarrant pengganas kulit putih yang melepaskan tembakan rambang di dua masjid di bandar Christchurch memasang lagu berbahasa Serbia dan Jerman ketika dalam perjalanan menuju ke masjid Al Noor.

Lagu berbahasa Serbia berjudul ‘Penyembelih Bosnia’ itu merujuk kepada bekas pemimpin Serbia, Radovan Karadzic yang dijatuhi hukuman 40 tahun penjara pada Mac 2016 kerana peranannya dalam pertumpahan darah semasa perang Bosnia yang mengorbankan 100,000 nyawa dan 2.2 juta lain hilang tempat tinggal.

Dia didapati bersalah atas 10 pertuduhan termasuk pembunuhan beramai-ramai pada 1995 di Srebrenica, di mana kira-kira 8,000 lelaki dan kanak-kanak Muslim dibunuh kejam tentera Serbia.

Ia satu-satunya jenayah paling dahsyat dilakukan di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

“Serigala berarak dari Krajina. Fasis dan Turki berhati-hati. Karadzic mengetuai orang Serbia, biar semua tahu, mereka tidak gentar pada siapa-siapa,” menurut lirik lagi tersebut.

Serangan di masjid Al Noor turut disiarkan secara langsung di media sosial.

Selepas membunuh beberapa jemaah masjid, Tarrant turut melepaskan tembakan di luar masjid dan dua das tembakan mengenai belakang seorang wanita berhijab.

Wanita terbabit tersungkur sambil meminta tolong namun, Tarrant melepaskan dua lagi das tembakan tepat ke kepala mangsa.

Tarrant kemudian meluru masuk ke dalam kenderaannya dan melenyek mangsa.

Dia memecut laju meninggalkan lokasi serangan sambil memasang lagu dari siri anime terkenal Jepun, ‘Initial D’. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *