Ditelan ikan paus

SCHIMPF berjaya keluar dari mulut ikan paus itu melalui tekanan air yang dilepaskan mamalia itu. -Foto Agensi

CAPE TOWN: Seorang penyelam ditelan ikan paus ketika ekspedisi mendokumentasikan hidupan laut di luar pantai Port Elizabeth, Afrika Selatan, namun bernasib baik apabila ikan gergasi itu memuntahkannya kembali.

News.com.au melaporkan, ketika Rainer Schimpf, 51, berenang di laut keadaan bertukar menjadi gelap gelita dan dia menyedari dirinya ditelan ikan paus jenis Bryde.

“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana ikan paus itu boleh menarik saya, tetapi saya sedar sudah termasuk ke dalam mulutnya kerana merasai tekanan kuat pada bahagian pinggul. Dalam situasi itu, saya hanya mampu bergantung kepada naluri,” katanya.

Disebabkan itu, Schimpf terus menahan nafasnya kerana khuatir ikan gergasi itu akan menyelam jauh ke dasar dan meludahnya di sana.

Berat paus Bryde boleh mencapai sehingga 20 tan, dan penyelam operator pelancongan lain yang menyaksikan peristiwa berkenaan mengakui sirip mamalia itu berupaya memecahkan tulang rusuk manusia.

Schimpf berjaya keluar dari mulut ikan paus itu melalui tekanan air yang dilepaskan mamalia itu.

Video Schimpf bersama ikan paus itu menjadi tular dan dilihat sebanyak 1.5 juta kali dalam beberapa hari. – Agensi

491