[UPDATE] Seorang lagi murid maut

MANGSA terbaring dan disahkan meninggal dunia selepas dirempuh kereta jenis Nissan Sentra di Jalan Tempasuk 2, di Kota Belud. – Foto Ihsan Bomba

SEORANG daripada dua mangsa yang parah dirempuh kereta dipandu lelaki disyaki mabuk di Jalan Tempasuk 2, Kampung Tempasuk 2, Kota Belud, meninggal dunia malam ini.

Maxryona Masdi, 7, murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Tempasuk 2 yang parah di kepala, meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada 7 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, berkata mangsa adalah adik kepada Max Christty Masdi, 10, yang meninggal dunia dalam kejadian sama, pagi tadi.

“Kami mendapati adik beradik itu adalah anak saudara kepada pemandu berusia 54 tahun yang disyaki mabuk ketika melanggar tiga mangsa terbabit ketika kejadian pagi tadi.

“Polis menasihati pengguna laman sosial agar berhenti menyebarkan gambar mangsa untuk menghormati keluarga mangsa yang masih berdukacita dengan kejadian berkenaan,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, seorang lagi mangsa, Michelle Marianne David, 14, dilaporkan masih dalam keadaan kritikal akibat parah pada bahagian kepala.

Dalam kejadian 6.45 pagi hari ini, dua beradik berkenaan bersama Michelle Marianne dikatakan menunggu bas untuk ke sekolah sebelum dirempuh kereta Nissan Sentra. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *