Polis cari 2 suspek curi tabung masjid

Tabung yang dikosongkan oleh dua orang pencuri ditinggalkan di luar pagar sekolah. Gambar Facebook BESTAWAUfm

TAWAU: Polis sedang mengesan dua suspek lelaki disyaki terbabit memecah tabung masjid sebuah sekolah menengah di sini, awal pagi tadi.

Ia susulan laporan polis dibuat setiausaha masjid berkenaan pada jam 3.09 petang tadi.

Siasatan awal polis mendapati suspek memotong pagar di belakang sekolah untuk masuk ke dalam kawasan masjid sebelum mengambil dua tabung yang diletakkan di luar masjid.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata kelibat dua suspek terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di makmal komputer sekolah itu pada jam 2.10 pagi.

“Rakaman itu menunjukkan kelibat kedua-dua suspek menggunakan penutup muka dan memakai sarung tangan.

“Suspek kemudian membuka tabung di tepi pagar kawasan belakang masjid sebelum melarikan diri melalui lubang pada pagar berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata, kerugian wang tunai di dalam tabung itu dianggarkan RM300 dan setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (Pecah Rumah Malam),” katanya. – Berita Harian

Tabung yang dikosongkan oleh dua orang pencuri ditinggalkan di luar pagar sekolah. Gambar Facebook BESTAWAUfm
285