Sabah Bakal Kehilangan Dagangan Bernilai RM2 Bilion: SCBTA

Nordin (kiri) dan Tan menunjukkan dokumen perkapalan transhipment beras tersebut. Gambar SNT/Ihsan SCBTA

KOTA KINABALU: Sabah akan kehilangan dagangan rentas sempadan termasuk kawasan pasaran BIMP-Eaga bernilai lebih RM2 bilion setahun sekiranya kes penahanan 351 kontena beras dari Vietnam di Sepanggar gagal diselesaikan.

Sebuah persatuan perdagangan, Sabah Cross Border Trade Association (SCBTA) berkata tanpa penyelesaian jitu lebih-lebih lagi sekiranya kes tersebut dibawa ke mahkamah, Sabah akan disenaraihitamkan oleh pihak pengeluar makanan Vietnam.

Menurut pengerusi SCBTA, Nordin Ening, mereka mendapat tahu dua syarikat berkenaan konsainmen beras tersebut akan dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menyeludup oleh Jabatan Kastam hari ini.

Bercakap dalam sidang akhbar di sini pada Isnin, Nordin berkata Persatuan Makanan Vietnam (VFA) telah menyatakan akan menyenarai hitam Sabah daripada apa-apa urusan perniagaan beras dari negara Vietnam pada masa hadapan.

Kontena beras seberat 9,000 metrik tan yang ditahan di Sepanggar sejak bulan Oktober tahun lalu adalah milik tujuh syarikat pengeluar beras Vietnam.

“Sekiranya, Jabatan Kastam meneruskan pendakwaan terhadap dua syarikat (penerima muatan transhipment) di Labuan maka VFA akan menghentikan kesemua urusniaga dengan kami.

“Kami tidak akan mempunyai apa-apa urusniaga lagi di masa hadapan. Ia turut menjejaskan perniagaan dua hala kami dengan Thailand, Kemboja dan Pakistan,” katanya.

Atas sebab ini, SCBTA merayu kepada Perdana Menteri dan Peguam Negara agar melihat dengan kadar segera terhadap kes ini.

“Sekiranya VFA menghentikan hubungan dagang dua hala dengan kita (Sabah) bermakna kita tidak boleh membeli dan saya jangkakan hubungan perdagangan dengan Selatan Filipina juga akan terhenti,” katanya.

Berkenaan kes kontena beras tersebut, Nordin yang menyertai perjumpaan antara wakil syarikat Vietnam dan pihak Kastam awal tahun ini berkata segala penjelasan dan jawapan telah diberikan kepada tuduhan yang dikenakan.

“Saya menunjukkan surat daripada Kementerian Pertanian yang menyatakan transhipment beras adalah dibenarkan sehingga 31 Mac tahun ini sebelum dikenakan Permit Import.

“Namun pegawai kastam enggan menerima penjelasan tersebut,” katanya.

Terdahulu dilaporkan Kapal MV Formosa Container No.5 berlepas dari Ho Chi Minh dengan 351 kontena beras pada 8 September 2018.

“Oleh kerana kesesakan terminal kontena di Labuan maka MV Formosa terpaksa menurunkan kontena beras kami di Sepanggar dan akan mengambilnya semula dua minggu kemudian iaitu pada 24 September,” kata jurucakap syarikat Vietnam tersebut, Peter Doan.

Peter berkata agen perkapalan, Johan Agency Sdn Bhd telah memberi notis kepada pihak Kastam di Sepanggar mengenai hal ini pada 7, September 2018 dan ianya telah diterima.

Pada 11 September, MV Formosa tiba di Sepanggar dan menurunkan muatan bersama dengan borang K6 iaitu dokumen transhipment dan bukannya untuk import.

“Tetapi apabila kami mahu memuatkan semula kontena ke atas MV Formosa permohonan tersebut ditolak oleh pihak Kastam,” katanya.

Wakil ketujuh-tujuh syarikat beras Vietnam mengadakan protes di hadapan Kedutaan Malaysia di Ho Chi Minh pada Sabtu lalu. Gambar Fail SNT

Pelabuhan transhipment rasmi MV Formosa ialah Labuan sebelum beras tersebut meneruskan perjalanan ke destinasi akhirnya, Filipina.

Nordin berkata beliau tidak mempunyai pilihan tetapi melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan penyalahgunaan kuasa pada 4 Mac baru-baru ini.

SPRM telah berhubung dengan Kementerian Pertanian untuk mendapatkan pengesahan mengenai status transhipment beras yang hanya berkuatkuasa pada hujung bulan ini.

Walaupun demikian, SPRM tidak dapat meneruskan siasatan memandangkan kes itu akan dibawa ke mahkamah, katanya.

Sementara itu Pengarah BGC Trading (L) Sdn Bhd, Tan Hock Wee memberitahu media mereka tidak tahu bagaimana mereka telah dikatakan melakukan kesalahan sedangkan kesemua dokumen telah diserahkan kepada pihak Kastam untuk menurunkan muatan di Sepanggar disebabkan kesesakan di Pelabuhan Labuan.

“Kami akan didakwa di mahkamah atas tuduhan menyeludup beras. Bagaimanakah kami menyeludup sedangkan kargo masih berada di dalam halaman kastam dan bukan di luar?” soalnya.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Katakanlah kami berniat untuk menyeludup, mengapa pula kami mengikrarkan kargo kami sebagai beras putih?”

Nordin kemudian berkata mereka juga telah diberitahu bahawa pihak Kastam telah melelong 26 daripada 351 kontena beras tersebut.

Beliau diberitahu oleh SPRM bahawa terdapat persetujuan antara Bernas dan Kastam bahawa kesemua beras tersebut akan dijual tanpa dilelong.

“Kami tidak pasti bila pelelongan diadakan memandangkan kastam enggan berkata apa-apa.

“Pengurus pelabuhan memberitahu kami pihaknya mendapat surat arahan mengeluarkan kargo daripada kawasan pelabuhan dan menghantarnya ke Bernas,” dakwanya.

“Kes ini amat serius. Maka itu kami mengadakan sidang akhbar hari ini merayu kepada kerajaan melihat perkara ini,” kata Nordin.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *