Perintah berkurung di ESSZONE dilanjut hingga 27 Mac

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok, dilanjutkan dua minggu lagi bagi fasa ke-109.

Tempoh perintah berkurung fasa baharu itu dilanjutkan mulai Rabu ini hingga jam 6 petang 27 Mac depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata perintah berkurung itu dilanjutkan oleh Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 31 (4) Akta Polis 1967.

“Peraturan ini meliputi tujuh daerah, iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Oleh itu, orang ramai di daerah terbabit dinasihatkan tidak berada di lokasi yang diisytiharkan sebagai kawasan perintah berkurung,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Omar berkata, lanjutan perintah berkurung itu adalah untuk memastikan kawasan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas, terutama kumpulan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf yang masih cuba melakukannya bagi tujuan jenayah.

“Selain itu, ia bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini yang menjadi pengguna perairan, begitu juga di daratan kawasan ESSZONE serta memudahkan pemantauan terhadap pergerakan bot mencurigakan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah (di kawasan ESSZONE) untuk mengeluarkan permit kepada pemohon (penduduk), dengan memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak,” katanya – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *