2 lelaki disyaki bom ikan ditahan

Pasukan Polis Marin (PPM) tahan dua lelaki kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan Singamata, Semporna. – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki disyaki menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan Singamata, dekat sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata dua lelaki Bajau Laut berumur 36 tahun itu ditahan dalam Ops Pensura kira-kira jam 5 petang.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot digunakan mereka menemui beberapa peralatan dan bahan letupan, termasuk satu botol kaca berisi baja ammonia, kit peledak serta sebuah kotak mancis kayu, dipercayai bagi tujuan mengebom ikan.

“Kedua-dua suspek ditahan, manakala barangan membuat bom ikan dan sebuah bot bersama enjin pam dianggarkan bernilai RM5,796 turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7 (b) Akta Bahan Letupan 1957 kerana kesalahan membuat atau memiliki atau bawah jagaannya bahan letupan. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya. – Berita Harian

Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah
Pasukan Polis Marin (PPM) tahan dua lelaki kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan Singamata, Semporna. – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah
361