Sidang Dewan Rakyat kali ini dijangka hangat

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat yang mula bersidang, hari ini, dijangka hangat dengan pelbagai isu serta usul bakal dibangkitkan Ahli Parlimen kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang.

Paling menarik perhatian, permulaan persidangan kali ini menyaksikan banyak perubahan berlaku pada kedudukan kerusi Ahli Parlimen, khususnya membabitkan bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang kini menyertai parti kerajaan.

Kedudukan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Ketua Pembangkang juga berubah selepas BN bersetuju melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi penyandang baharu.

Kerusi ketua whip BN di barisan depan blok pembangkang pula akan diisi oleh Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menggantikan Ismail.

Kemasukan ramai bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyaksikan suara di blok kerajaan semakin dominan berbanding blok pembangkang.

Namun, ia belum cukup bagi kerajaan memperoleh kedudukan dua per tiga dalam Dewan Rakyat, untuk membolehkan mereka melakukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Beberapa isu dan usul juga dijangka dibangkitkan sepanjang tempoh persidangan kali ini, antara lain menyentuh isu penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW, himpunan penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), ekonomi serta kos sara hidup rakyat.

Agenda perpaduan ummah yang digerakkan UMNO dan PAS ketika ini sehingga menjadi bahan perdebatan politik, dijangka disentuh dalam sesi perbahasan oleh kedua-dua blok.

Isu berkaitan usul pindaan ke atas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) serta Akta Pencegahan Keganasan (POTA), turut disentuh kali ini.

Pagi ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah akan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Ke-14.

Ini adalah kali pertama baginda merasmikan istiadat pembukaan persidangan Dewan Rakyat selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah pada 15 Januari dan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 31 Januari lalu.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 berkuat kuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 20 hari hingga 11 April depan.

Berdasarkan aturan, mesyuarat akan dimulakan dengan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama dua minggu, dijadual bermula esok.

Kemudian, diikuti dengan menteri-menteri menjawab Perbahasan Titah Diraja pada minggu ketiga.

Urusan minggu ke-4 dan ke-5 adalah perbahasan bagi rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosmee Hamzah, sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, selaras dengan reformasi Parlimen, Yang di-Pertua Dewan Rakyat sudah memutuskan sesi Pertanyaan Jawab Lisan ditetapkan selama enam minit bagi setiap pertanyaan, mulai mesyuarat ini.

“Ini bagi membolehkan sebanyak mungkin pertanyaan lisan dijawab oleh pihak kementerian dalam tempoh sejam 30 minit mengikut Peraturan Mesyuarat 24(5) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Pemberitahuan mengenai penetapan masa pertanyaan jawab lisan sudah dikeluarkan pada 4 Mac lalu,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *