Mohd Shafie, pemimpin berpengalaman terajui kerajaan negeri Sabah – Musbah

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (depan lima, kanan) bergambar bersama Anggota Dewan Undangan Tempasuk Datuk Musbah Jamli (depan empat, kiri) serta orang ramai pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Taun Gusi hari ini. – Gambar Bernama

KOTA BELUD, 10 Mac – Pengalaman Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di peringkat kepimpinan parti dan kabinet persekutuan tidak dipertikai telah memberikannya kemampuan untuk kini memimpin kerajaan negeri Sabah.

Anggota Dewan Undangan Negeri Tempasuk Datuk Musbah Jamli yakin Mohd Shafie selaku Ketua Menteri mampu menggalas tanggungjawab memimpin kerajaan negeri untuk membangunkan Sabah  dengan cemerlang.

“Perjuangan politik Mohd Shafie adalah ikhlas untuk membela nasib rakyat dan membangunkan negeri ini lebih cemerlang dengan mengutamakan rakyat.

“Ini menjadi faktor untuk saya menyertai Warisan bagi meneruskan perjuangan membela nasib dan hak rakyat di Tempasuk,” katanya pada Majlis Ketua Menteri Sabah Bersama Masyarakat Tempasuk di sini, hari ini.

Mengenai keputusannnya bersama 6,000 bekas ahli UMNO di Tempasuk menyertai Warisan, Musbah berkata beliau melihat Warisan merupakan sebuah parti tempatan yang berjuang atas kepentingan rakyat dan hak negeri ini.

Katanya sebelum mengambil keputusan itu, beliau sudah berbincang dengan ahli di akar umbi dan sama-sama mengikuti jejaknya menyertai Warisan.

Menurutnya Warisan di bawah Mohd Shafie memperjuangkan hak rakyat Sabah yang sebelum ini kurang didengari dan tetap dahagakan pembangunan.

— BERNAMA

103