PBS Gesa Anita Baranting Kosongkan Kerusi

Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (tengah) bersama Dr Maximus dan para ahli majlis tertinggi parti memotong kek ulangtahun di Tambunan semalam. Gambar Parti Bersatu Sabah

KOTA MARUDU: Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini menggesa wakil rakyat Tandek Datuk Anita Baranting yang berpaling tadah untuk menyertai Parti Warisan Sabah agar menggosongkan kerusi supaya pemilihan semula dapat diadakan.

Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata mengadakan pemilihan semula bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tandek merupakan cara yang lebih mulia bagi Anita untuk berkhidmat kepada rakyat dikawasannya.


Kepimpinan PBS kecewa dengan tindakan Anita namun menurut beliau “PBS akan terus hidup untuk maju ke hadapan.”

“Beliau (Anita) pergi tanpa sebarang tanda ketidakpuasan hati mengenai apa-apapun dengan parti … tiba-tiba buat keputusan tukar kapal untuk menyertai kelab katak politik.

“Ini bukanlah cara terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat khususnya pengundi Tandek,” katanya.

Dr Maximus menekankan bahawa PBS berpegang teguh dengan pendirian bahawasanya “anda boleh pilih halatuju politik yang anda mahu tetapi sekiranya anda adalah seorang wakil rakyat yang dipilih dan ingin melompat, anda haruslah mengosongkan kerusi untuk mendapatkan mandat daripada rakyat semula.”

“Ini adalah cara yang paling mulia. Kami menggesa agar dia akur kepada amalan integriti terhormat ini,” katanya.

Dr Maximus berkata sekian lama PBS telah melatih Anita dan membentuknya menjadi model pemimpin wanita yang berintegriti.

Anita turut diberi peluang mewakili PBS dan Barisan Nasional dalam tiga pilihanraya yang kesemuanya dimenangi dengan kekuatan akar umbi di Tandek.

“Dia juga telah dinaikkan menjadi naib presiden parti dan Ketua Wanita selama empat tahun supaya beliau boleh membimbing pemimpin muda wanita yang berintegriti.

“Semasa dalam kerajaan BN dahulu, PBS memberi beliau peluang menjadi pembantu menteri dan seterusnya menjadi menteri penuh  dalam kabinet Tan Sri Musa Aman sebelum kerajaan negeri bertukar tangan,” katanya.

“Tidak ramai dalam PBS yang mendapat peluang seperti apa yang Anita kecapi sekaligus membuktikan bahawa PBS telah menjaga beliau dengan baik. Sepatutnya beliau berterima kasih.”

Dr Maximus menjelaskan bahawa Tandek adalah kubu kuat PBS yang dimenangi dan dijaga oleh PBS sejak kawasan DUN tersebut diwujudkan pada tahun 1985

“PBS akan memenangi kerusi ini pada bila-bila samaada pilihanraya umum ataupun pilihanraya keci. Kita mempunyai pemimpin muda yang berpelajaran terutama dari masyarakat Kimaragang bersedia mengganti beliau,” katanya.

Anita Baranting menyerahkan borang keahlian kepada Shafie di PPNS hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

Semalam, PBS meraihkan sambutan ulangtahun ke-34 di Tambunan.

Kesemua pemimpin utama PBS hadir kecuali Anita dan tiada siapa yang mengetahui sebab beliau tidak hadir sehinggalah petang tadi.

“Apa yang kita lihat, terdapat tenaga baharu dalam komitmen semua untuk mengguatkan parti dalam memburu objektif perjuangan murni walaupun hari ini kita kehilangan seorang wakil rakyat,” kata Dr Maximus.

“PBS telah membuktikan bahawa ia adalah parti untuk segala musim dan untuk semua orang Sabah tulen,” katanya.

Anita menyerahkan borang permohonan keahlian Parti Warisan Sabah kepada presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Dengan perletakan jawatan Anita dari PBS, parti tersebut kini mempunyai lima Adun iaitu Datuk Jahid Jahim (Tamparuli), Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu), Datuk Dr Joachim Gunsalam (Kundasang), Julita Majunki (Matunggong) dan Abd Rahman Kongkawang (Labuk) serta satu ahli parlimen iaitu Dr Maximus (Kota Marudu).-SabahNewsToday

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/pbs-gesa-anita-baranting-kosongkan-kerusi/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *