Jawatan kuasa teknikal dibentuk bincang tuntutan MA63

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) ketika hadir menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif POIC Sabah Sdn Bhd, Datuk Dr Pang Teck Wai (kiri) dengan Pengerusi Eksekutif Strategic Swiss Partners yang juga Penasihat Kewangan Burel Industries Sdn Bhd, Per N Brantzag di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu. . – NSTP/Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Pembentukan tiga jawatankuasa teknikal iaitu berkaitan tanah, imigresen dan minyak adalah antara tindakan yang diambil bagi membincangkan secara terperinci tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan Kerajaan Pusat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ketiga-tiga perkara itu selain perkara lain berkaitan MA63 yang turut dibincangkan akan dilaksanakan sejurus dipersetujui Kerajaan Pusat dan negeri.

Katanya, setakat ini perbincangan mengenai perkara itu menunjukkan perkembangan yang positif dan beliau yakin hasilnya dapat dilihat tidak lama lagi.

“Kita sedang berusaha dan mempercepatkan perkara ini tetapi ada perkara yang memerlukan masa untuk diselesaikan. Tunggu saja hasilnya nanti,” katanya pada sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil mesyuarat mengenai MA63 bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam yang turut dihadiri Mohd Shafie dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Mohd Shafie berkata, mesyuarat bagi mengembalikan hak Sabah dan Sarawak itu berjalan lancar dan menunjukkan perkembangan yang baik.

Katanya, kerajaan negeri berusaha untuk mempercepatkan perbincangan berhubung perkara yang mudah untuk diselesaikan sebelum disusuli perkara lain yang memerlukan lebih penelitian.

“Kira usahakan mana yang boleh dipercepatkan, kita akan cepatkan. Mesyuarat seterusnya akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir berkata tidak banyak perbezaan pendapat yang timbul dalam perbincangan di antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak berhubung MA63.

Ia adalah mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (PEMANDU) Untuk Menyemak MA63 yang kedua selepas tahun lalu. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *