Peralatan pemburuan haram ditemui di hutan simpan kabili

DICEROBOH: Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) memeriksa kelonsong peluru yang dijumpai ditinggalkan oleh pemburu haram ketika mengadakan Joint Ex-Ops Belantara di Hutan Simpan Kabili semalam. — Gambar Bernama

SANDAKAN: Latihan Bersepadu Operasi Belantara atau ‘Joint Ex-Ops Belantara’ selama tiga hari sejak 1 Mac lepas, berjaya menemui peralatan pemburuan haram di Hutan Simpan Kabili di sini.

Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Zainuddian Samsu Hadi berkata kejayaan itu hasil kerjasama antara Jabatan Perhutanan dan Jabatan Hidupan Liar Negeri yang turut serta dalam operasi tersebut.

“Latihan bersama ini julung kali diadakan dan berjaya menemui tujuh pelantar kayu untuk pemburu haram menembak haiwan, tiga kelongsong peluru dan satu jaring berukuran kira-kira 200 kaki (61 meter) yang digunakan bagi memerangkap haiwan kecil.

“Walaupun tiada individu ditahan, ia satu kejayaan untuk tiga pasukan ini memantapkan penguatkuasaan bersama di hutan simpan dan memberi amaran kepada penjenayah mengenai komitmen kami untuk memantau dan memelihara hutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan latihan operasi itu, di sini semalam.

Zainuddian berkata pelantar kayu itu telah dimusnahkan dan barang pemburuan haram lain dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut.

Beliau juga memberitahu PGA Sabah mempunyai rancangan untuk melibatkan batalion lain dalam operasi serupa.

Katanya, operasi itu bukan sahaja memantapkan pasukan berkenaan, tetapi juga mengeratkan hubungan dengan agensi lain dalam menjaga keselamatan masyarakat, hidupan liar dan alam sekitar.

Zainuddian berkata pihaknya juga memohon untuk mewujudkan satu lapang sasar di hutan simpan bagi melatih anggota dan pegawai PGA dalam penggunaan senjata ketika operasi di hutan.

Beliau berkata kawasan lapang sasar itu dikenal pasti di Sandakan dan PGA Sabah akan merangka kertas kerja untuk dimajukan kepada Jabatan Perhutanan Sabah bagi pertimbangan.

Seramai 40 anggota PGA daripada Batalion 15 Sandakan, Batalion 16 Kinarut dan Batalion 20 Beluran serta Jabatan Perhutanan dan Jabatan Hidupan Liar terlibat dalam operasi itu. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *