Murid Tahun Dua Maut Dilanggar Van

Lokasi dipercayai murid tahun dua dilangar van- Foto Facebook BES TAWAUfm

TAWAU 6 Mac : Seorang murid lelaki maut selepas dilanggar van di hadapan Sekolah Kebangsaan Muhibbah Raya di sini, semalam.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Addrieyansya Abdullah, 8, beralamat di Kampung Tanjung Batu Darat di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus dalam satu kenyataan hari ini berkata seorang lelaki berusia 37 tahun dan merupakan pemandu van berkenaan turut ditahan malam tadi, bagi siasatan lanjut.

“Berdasarkan siasatan, suspek berada di hadapan sekolah tersebut untuk mengambil beberapa pelajar sekolah dengan menggunakan van persendirian (tanpa permit bas sekolah).

“Semasa mengundur van, dan bergerak ke hadapan suspek terdengar bunyi perlanggaran dan terus memberhentikan kenderaan,” katanya.

Fadil berkata suspek segera membawa mangsa ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan namun mangsa disahkan meninggal dunia.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Van berkenaan. – Foto Facebook BES TAWAUfm
Kesan darah murid tahun dua selepas dilaggar van kemudian dikejarkan ke Hospital Tawau. Foto Facebook BES TAWAUfm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *