Tangkapan kes dadah di Sabah meningkat

Zaini Jass (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas dari seorang lelaki warga asing dalam satu operasi di Sandakan ketika mengadakan sidang media hari ini.–fotoBERNAMA

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah mencatatkan peningkatan tangkapan membabitkan kes dadah sepanjang Januari hingga kelmarin berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata bagi tempoh itu, seramai 2,819 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun 1952.

“Jumlah tangkapan meningkat seramai 357 orang atau 14 peratus berbanding 2,462 orang bagi tempoh sama tahun lalu.

“Berdasarkan tangkapan tahun ini iaitu seramai 2,819 orang, seramai 225 orang daripadanya adalah pengedar dadah yang disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di IPK Sabah, di sini, semalam.

Zaini berkata, syabu adalah rampasan dadah paling banyak dibuat iaitu 6.3 kilogram, manakala daun ketum pula sebanyak 6.1 kilogram.

“Hasil kejayaan ini membuktikan polis sentiasa komited dalam usaha membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini.

“Bagaimanapun, masyarakat turut diminta memberikan maklumat kepada polis berhubung aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *