Pemain Muda Badminton Sabah Berpotensi : Razif Sidek

KOTA KINABALU: Bakat-bakat muda badminton Sabah terserlah dalam Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Bandaraya Kota Kinabalu (KKCBA) di sini baru-baru ini.

Bekas jaguh bergu badminton negara Datuk Razif Sidek kagum melihat aksi para pemain muda tempatan yang menurutnya amat berpotensi sekiranya bakat mereka terus digilap.

Razif (tengah t-shirt hitam) bersama juara kejohanan Pasukan KKCBA Alpha. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Saya lihat pemain-pemain yang ada dalam pertandingan ini sangat bagus dan amat berpotensi,” katanya.

Beliau percaya para pemain ini mampu menjadi pelapis kepada pemain senior negara yang sedia ada jika mereka menjalani latihan dengan baik dan bersungguh-sungguh.

Razif (tengah) dan Presiden KKCBA Datuk Kadzim Yahya bergambar kenangan dengan naib juara, Pasukan Lahad Datu. Gambar SNT/Chris Maskilone

Razif berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang kejohanan di Olympia Badminton Academy, Kolombong dekat sini pada Ahad.

Datuk Razif Sidek. Gambar SNT/Chris Maskilone

Kejohanan dua hari itu dijuarai oleh Pasukan KKCBA Alpha yang menewaskan Pasukan Lahad Datu, 4 – 3 dalam perlawanan akhir yang begitu sengit.

KKCBA Alpha membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM7,500, pingat serta peralatan sukan manakala Lahad Datu mendapat RM5,000 tunai, pingat dan peralatan sukan.

Pasukan Pitas dan Putatan memenangi tempat ketiga dan masing-masing mendapat hadiah wang tunai RM2,500.

Antara yang menarik tentang kejohanan ini ialah kehadiran lapan pemain negara Indonesia antaranya Rian Agung Saputro untuk digandingkan dengan pemain tempatan dalam setiap pasukan.

Rian merupakan pasangan Mohamad Ahsan, bergu Indonesia yang muncul naib juara Kejohanan Dunia BWF 2017.

Sementara itu, pemain utama KKCBA Alpha, Demond Anthony Samin, 17 gembira dengan penganjuran kejohanan sedemikian.

Demond Anthony Samin dengan aksi jumping smash dalam perlawanan penentuan bertemu Lahad Datu di Olympia Badminton Academy pada Ahad lalu. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Banyak pemain di Sabah yang tidak mempunyai peluang menonjolkan bakat. Oleh itu melalui pertandingan seperti ini pemain-pemain ini terutama yang dari luar bandar dapat bertanding dan menunjukkan kebolehan masing-masing,” katanya.

Tahun lalu Demond mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama dari Sabah muncul juara Bergu Remaja Asia bawah 17 tahun yang berlangsung di Myanmar.

Demond Anthony Samin. Gambar SNT/Chris Maskilone

Berpasangan dengan Wan Muhammad Arif Shaharu Wan Mohd Junaidi, bergu negara itu membuat upset apabila menundukkan pilihan utama kejohanan Wei Chun Wei – Wu Guan Xun dari Taipeh 21-18, 21-17 dalam perlawanan akhir.

Turut hadir ialah Presiden KKCBA Datuk Kadzim Yahya dan Timbalan Presiden, Ronald Cooke.-SabahNewsToday

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/pemain-muda-badminton-sabah-berpotensi-razif-sidek/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *