Geledah sampah cari makanan

PETIKAN video menunjukkan orang ramai di Caracas, Venezuela, mencari makanan dalam lori sampah. – Twitter/@Enrique_AcevedoAgensi

WASHINGTON: Rakaman video menunjukkan rakyat Venezuela menggeledah lori sampah dan makan makanan ditemui dipercayai menjadi punca sepasukan enam wartawan dari Amerika Syarikat dihalau dari negara itu.

Reuters melaporkan wartawan yang bekerja dengan stesen televisyen berbahasa Sepanyol di Amerika, Univision dikatakan menimbulkan kemarahan Nicolas Maduro ketika mereka menemuramah Presiden Venezuela di Istana Presiden di Caracas, minggu lalu.

Dalam kejadian Selasa lalu, wartawan utama pasukan itu, Jorge Ramos memberitahu Washington Post, mereka ditahan seketika di istana presiden selepas Maduro tidak senang dengan soalan mereka.

Presiden itu marah apabila ditanya mengenai kemiskinan di Venezuela yang teruk dilanda krisis ekonomi selepas 17 minit ditemu bual.

Menurut Ramos, presiden itu memberhentikan temu bual selepas mereka menunjukkan video yang dirakam menggunakan iPad menunjukkan orang ramai mencari dan makan makanan dari lori sampah.

Pasukan itu mendakwa mereka ditahan dan disoal selama dua jam dan anggota keselamatan mengambil peralatan rakaman termasuk telefon dan kamera.

JORGE Ramos menunjukkan rakaman video yang menimbulkan kemarahan Presiden Venezuela. – Agensi

Anggota pasukan wartawan berkenaan menyiarkan rakaman orang ramai yang memakan makanan dari lori sampah itu di Twitter.

Menurut Times, pasukan wartawan terbabit diarah ke lapangan terbang pada awal pagi Rabu untuk menaiki pesawat ke Miami, Florida.

Maduro menghalang semua bantuan daripada memasuki negara itu walaupun rakyatnya kelaparan, menutup laluan menghubungkan Venezuela dengan Colombia dan Brazil. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *