Panas berpanjangan, petani di Kota Belud mula resah sawah terjejas

KOTA BELUD: Pesawah mulai bimbang dengan cuaca panas berpanjangan di negeri kerana ia akan memberi kesan kepada aktiviti penanaman padi.

Tinjauan di Kampung Tempasuk 2 dan Kampung Sangkir di sini, mendapati ada tapak sawah merekah berikutan cuaca panas sejak hampir sebulan lalu.

Petani yang ditemui turut melahirkan rasa bimbang cuaca panas berpanjangan akan menyebabkan sawah merekah, selain hasil padi terjejas.

KOTA BELUD 03 MAC 2019. Kelihatan pembakaran terbuka di kawasan tanah sawah yang kering kontang di Kampung Sangkir berikutan fenomena cuaca panas dan kekurangan hujan yang melanda negara ini. – Foto Khairull Azry Bidin.

PETANI dari Kampung Rinig, Tempasuk 2, Stephanie Tiapa. – Foto Khairull Azry Bidin.

Petani dari Kampung Rinig, Tempasuk 2, Stephanie Tiapa, 41, berkata dia yang mula menanam bagi musim baharu pada awal Februari lalu, berdepan risiko padi menjadi rosak.

Ibu kepada tiga anak berusia 12 hingga 21 tahun yang mengusahakan sawah seluas kira-kira satu hektar, berkata mendapatkan air yang mencukupi adalah satu cabaran terutama pada musim kemarau.

“Saya berharap cuaca panas yang melanda ketika ini tidak berpanjangan, sekali gus tidak merugikan petani seperti saya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, Salmah Labulla, berkata jika cuaca panas berterusan sehingga bulan depan, pihaknya menasihatkan pesawah untuk menangguh jadual penanaman padi di kawasan terbabit sehingga cuaca kembali seperti biasa.

“Cuaca panas sekarang memang menjejaskan pesawah termasuk air sungai surut. Oleh sebab itu, kita ambil beberapa langkah termasuk nasihatkan mereka tangguh jadual penanaman sehingga cuaca kembali seperti biasa.

Beliau berkata, lazimnya dalam keadaan cuaca seperti ini, pihaknya akan menasihatkan pesawah untuk melakukan kerja pembersihan dan pembaikan sawah sebagai persediaan sekiranya cuaca kembali seperti biasa. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *