Penunggang Motosikal Maut Dilanggar Lari

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dipercayai langgar lari berdekatan lampu isyarat Universiti Malaysia Sabah (UMS), tengah malam semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.50 tengah malam itu, Mohd Diman Fadillah Kamis, 31, disahkan meninggal ditempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Likas.

Keadaan mangsa yang disahkan meninggal di tempat kejadian. Gambar SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kemalangan itu berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 cuba menguji kelajuan dan membuat satu pusingan dari arah lampu isyarat UMS menuju ke lampu isyarat Indah Permai.

“Apabila sampai di jalan Sulaman berdekatan lampu isyarat UMS, mangsa telah dilanggar oleh dua buah motosikal yang lain.

“Kedua-dua penunggang motosikal tersebut seterusnya meninggalkan tempat kejadian dan belum membuat laporan polis.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa telah disahkan meinggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Lokasi berhampiran kemalangan itu berlaku. Gambar SNT/Ihsan Polis

Menurutnya mayat mangsa seterusnya dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Satu untuk tujuan bedah siasat.

Jelasnya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan melulu sehingga menyebabkan kematian.

Habibi menggesa agar orang ramai yang menyaksikan kemalangan tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan polis dengan menghubungi Balai Polis Trafik berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 0178083272.

Sementara itu, beliau menasihatkan kepada pengguna jalan raya agar berhati-hati ketika memandu di beberapa laluan sekitar Kota Kinabalu yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.

“Kajian menunjukkan kes kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas serta memandu dengan laju sehingga membahayakan seterusnya meragut nyara diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya. -SabahNewsToday

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/penunggang-motosikal-maut-dilanggar-lari/

103