Zizie lahir bayi perempuan

“BAYI perempuan saya akhirnya selamat dilahirkan hari ini, Jumaat, jam 12.06 tengah hari.

“Dia adalah bayi yang sihat dengan berat 3.32 kilogram.

“Terima kasih Tuhan. Urusan melahirkan anak kali ini sangat dipermudahkan berbanding pengalaman dilalui sebelum ini.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua untuk doa anda,” tulis pelakon Datin Seri Zizie Izette, 41.

Perkongsian foto bersama seorang bayi itu dimuat naik Zizie selepas beliau selamat melahirkan anak ketiganya itu di sebuah pusat perubatan swasta, siang tadi.

Sebelum ini, Zizie sudah memiliki sepasang anak kembar iaitu Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette yang berusia 14 bulan.

Pasangan kembar itu yang juga zuriat kandung pertama dan kedua Zizie bersama suami dilahirkan pada 30 Disember 2017.

Zizie yang juga kakak pelakon lelaki popular, Shaheizy Sam itu berkahwin dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 59, pada 2009.

Sebelum ini, Zizie dan suami turut mempunyai dua anak angkat iaitu Naila Nurjenna dan Aaric Zayn Izette. – Harian Metro

74