Selepas UMNO, Osman Jamal Sah Tinggalkan PKR

Datuk Osman Jamal berucap semasa kempen pilihanraya ke-14 pada tahun lalu. – Sumber Gambar Media Sosial

TAWAU: Spekulasi bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung, Datuk Osman Jamal akan  meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terjawab apabila beliau sendiri membuat pengesahan itu semalam.

Namun, Osman membiarkan pihak media terus berteka-teki berhubung parti baharu yang akan beliau sertai.

Katanya satu majlis rasmi akan diadakan di Kota Kinabalu pada minggu hadapan dan akan dimaklumkan kepada pihak media.

“Tentang saya akan ke lain parti, sepatutnya diadakan pada minggu ini. Tapi oleh kerana terdapat masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan, mungkin minggu depan sama ada hari Isnin atau Selasa.

“Saya akan ke Kota Kinabalu berjumpa dengan pemimpin parti baharu,” katanya dalam satu sidang media sempena Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Tawau di sini.

Minggu lalu, wujud khabar angin mengatakan Osman akan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Namun, beliau enggan mengulas lebih lanjut dan akan memaklumkan hal tersebut dalam satu majlis rasmi.

Ini adalah kali kedua bekas Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri itu menukar parti.

Osman bertanding di bawah tiket Barisan Nasional (BN) mewakili Umno dan menggantikan Datuk Syed Abas Syed Ali yang telah dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri.

Beliau adalah antara tiga Adun Umno yang mengambil keputusan untuk menyebelahi Shafie kurang 24 jam selepas Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei tahun lalu.

Osman kemudian menyertai PKR pada Julai.-SabahNewsToday

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/osman-jamal-sah-tinggalkan-pkr/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *