Sabah tak pandang mudah cabaran PDRM

WALAUPUN Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berada di tangga tercorot Liga Perdana, Sabah tidak memandang mudah cabaran pasukan itu, sebaliknya lebih berhati-hati apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Likas, di sini, malam esok.

Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating berkata, masih terlalu awal untuk mengukur kekuatan mana-mana pasukan dalam liga ketika ini kerana saingan masih di peringkat awal.

“Kita anggap PDRM sama dengan pasukan lain dan akan bermain habis-habisan bagi mengatasi mereka walaupun kini pasukan itu belum mencatat sebarang kemenangan serta berada di kedudukan tercorot,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Jelius kemungkinan akan membuat sedikit perubahan taktikal berikutan kehadiran semula penyerang import Luis Carlos Junior yang telah pulih daripada kecederaan.

“Junior akan menggantikan tempat Ricco (Nigel Milus) yang terpaksa direhatkan kerana digantung perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning sebelum ini. “Dengan kemasukan Junior, kita mungkin melakukan sedikit perubahan taktikal mengikut kesesuaian serta kemampuan pemain,” katanya sambil menambah akan mengekalkan barisan pemain yang beraksi ketika menewaskan Sarawak, minggu lalu.

Dalam pada itu, bekas pemain berusia 48 tahun itu turut berharap penyokong pasukan itu akan datang beramai-ramai ke stadium bagi memberikan sokongan kepada skuad Tambadau.

Katanya, penyokong pasukan itu perlu bersatu dan tidak memanjangkan isu perbezaan pandangan dalam kalangan mereka serta perbezaan pendapat dengan pihak pengurusan.

“Apa yang penting bila masa pasukan kita semakin meningkat, itulah masanya kita perlu datang memberi sokongan kerana kalau kita masih mempertikaikan berkaitan isu-isu kecil, lama kelamaan ia akan mempengaruhi pasukan.

“Kami di bahagian teknikal iaitu jurulatih dan pemain sebenarnya tidak mahu lihat isu antara penyokong dan pengurusan, kita hanya fokus kepada pasukan dan buat masa ini kita tidak terjejas.

“Tetapi bila masalah ini berlarutan, ia akan memberi kesan kepada pengurusan dan akhirnya ia menjejaskan pasukan… ini sesuatu yang tidak baik,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *