Maritim Malaysia tahan dua nelayan Indonesia di perairan Tawau

Dua nelayan Indonesia ditahan di perairan Tawau – Foto Facebook Pages BES TAWAUfm

TAWAU, 28 Feb – Tindakan berani dua nelayan asing warga Indonesia menangkap ikan di perairan kurang 3.5 batu nautika selatan Sungai Kinabutan Besar di sini, membawa padah apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata bot peronda maritim yang bertugas rondaan Op Pluto Timur mengesan bot pam  digunakan suspek berusia 15 dan 42 tahun pada jam 11.35 pagi.

“Pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah selain melakukan kesalahan menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata bot pam yang tidak berdaftar dan kedua-dua suspek di bawa ke Jeti Maritim untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu, beliau memohon kerjasama semua pihak agar dapat menyalurkan maklumat serta aduan ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999.

— BERNAMA

Dua nelayan Indonesia ditahan di perairan Tawau – Foto Facebook Pages BES TAWAUfm