8 leka berpesta dalam keadaan khayal ditahan

SEBAHAGIAN yang ditahan dalam ops bersepadu polis di Tawau, awal pagi tadi. – Foto Abdul Rahemang Timing

TAWAU: Polis menahan lapan individu, termasuk tiga wanita, yang leka berpesta dalam keadaan khayal disyaki bawah pengaruh dadah, dalam operasi bersepadu di sebuah kondominium di Jalan Kuhara, dekat sini, awal pagi tadi.

Hasil serbuan di unit kediaman tiga bilik disewa pada kadar RM300 itu mendapati ia dipercayai menjadi ‘port’ melepaskan gian menghisap dadah sehingga mereka tidak menyedari kehadiran pihak berkuasa kerana khayal.

Serbuan dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, diketuai Inspektor Mohd Firdaus Mohd Baharuddin, kira-kira jam 4.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata semua suspek berumur 22 hingga 45 tahun itu ialah antara 159 individu diperiksa dalam operasi lebih enam jam bermula 3 pagi di beberapa lokasi berasingan di sekitar daerah ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di bilik utama kondominium itu pula menemui beg galas mengandungi dua helai baju-T, sehelai seluar jean dan seluar pendek milik salah seorang suspek.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui satu peket lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 53 gram disembunyikan di sebalik pakaian itu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dalam operasi sama, sepasang suami isteri bersama tiga lelaki berumur 17 hingga 40 tahun turut ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan penempatan setinggan di Bandar Sri Indah, Batu 10 Jalan Apas.

Selain itu, Fadil berkata, polis merampas 22 peket syabu seberat 11 gram yang dijumpai di dalam beg silang milik salah seorang suspek, disyaki untuk dijual dan kegunaan sendiri.

“Semua yang ditahan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12 (2) akta sama, manakala 39 tangkapan disiasat mengikut Akta Imigresen,” katanya.

Beliau menegaskan pihaknya akan melakukan operasi besar-besaran dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

“Operasi besar-besaran ini seiring slogan ke arah ‘Tawau Sejahtera’ menjelang sambutan Hari Polis tidak lama lagi,” katanya. – Berita Harian

309