3 ditahan disyaki curi barang jualan majikan

GAMBAR HIASAN

KOTA MARUDU: Seorang lelaki bawah pengawasan polis ialah antara tiga individu ditahan disyaki mencuri barangan di sebuah premis pembekal perkakas pembinaan dan pertanian di Jalan Kampung Kebatasan, di sini, malam tadi.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 20 hingga 36 tahun yang juga pekerja di premis itu, ditahan kira-kira jam 10.30 malam selepas dua daripadanya dikatakan mengaku terbabit kepada majikan mereka, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, berkata siasatan awal mendapati pengadu, iaitu seorang warga Pakistan berusia 49 tahun yang juga pemilik premis itu, menyedari kehilangan peralatan pam air dan bertanya kepada 10 pekerja di situ mengenai perkara berkenaan.

“Dua suspek berusia 20 dan 22 tahun mengaku mencuri peralatan pam air yang disembunyikan di kawasan hutan di belakang rumah sarang burung walit.

“Pengadu mengambil semula peralatan pam air berkenaan, namun dua suspek terbabit kemudian turut mengaku mencuri bahan aluminium, besi buruk, diesel, alat ganti kenderaan lori dan racun serangga serta menjual barangan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan itu, Mohd Izaan berkata, kerugian akibat kecurian ditanggung pengadu sejak Oktober 2017 dianggarkan bernilai RM10,000.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan ketiga-tiga suspek dan semakan mendapati salah seorang daripadanya ada rekod lampau dan bawah pengawasan polis sejak 16 Mei 2017 hingga 15 Mei 2019.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan,” katanya. – Berita Harian