Penjara tujuh tahun ganti tahanan Henry Gurney

HUKUMAN tahanan di Sekolah Henry Gurney ke atas seorang remaja lelaki kerana menyebabkan kematian seorang lelaki, ditukarkan kepada penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman yang dibuat Mahkamah Sesyen Ranau ke atas tertuduh pada Februari 2017.

Beliau turut mengarahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Ranau mengarahkan tertuduh menjalani hukuman tahanan di Sekolah Henry Gurney sehingga mencecah usia 21 tahun selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian lelaki itu yang berusia 31 tahun di sebuah restoran di Ranau, antara 11 hingga 12 tengah malam, 11 Mac 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Difahamkan, ketika kejadian, tertuduh dan mangsa bertengkar selepas mangsa dikatakan memukul kakak tertuduh.

Berang dengan tindakan mangsa, tertuduh kemudiannya menikam mangsa menggunakan pisau di dada sehingga menyebabkan kematian.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip dan tertuduh diwakili peguam Goldam Hamid. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *