Kenapa kait BLACKPINK seksi dengan saya – Zizi Kirana

PENYANYI Zizi Kirana mengakui pelik kenapa dirinya menjadi sasaran dan dikaitkan dengan isu pakaian seksi dikenakan kumpulan dari Korea Selatan, BLACKPINK yang mengadakan konsert di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Zizi, 34, berkata dia langsung tidak faham namanya tiba-tiba dipetik terutama peminat yang obses selepas kumpulan idola mereka itu dikecam terlalu seksi.

“Kenapa pula nama saya tiba-tiba kena diheret dalam perdebatan mengenai isu BLACKPINK pakai seksi?. Saya langsung tiada kaitan dan sebenarnya tak ambil tahu pun.

“Bagaimanapun, saya pelik apabila netizen sudah mula ‘tag’ atau memetik nama saya. Bukan satu dua, ramai pula tu.

“Saya faham jika mereka terlalu obses terhadap idola. Tapi janganlah sampai heret nama saya yang tiada kaitan dalam hal ini,” katanya.

Terdahulu, penyanyi Nak Ke Tak Nak itu memuat naik di Instagram story beberapa komen netizen yang mengaitkan namanya mengenai isu berkenaan.

Rata-rata netizen yang mempertahankan BLACKPINK daripada dikecam berpakaian seksi memberi contoh penampilan Zizi Kirana lebih berani daripada pakaian kumpulan itu. – Harian Metro

1049