Presiden MPS buat laporan polis terhadap pemuda UMNO

SANDAKAN, 26 Feb – Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk Peter Hii Chang Lik membuat laporan polis terhadap Pemuda Umno Sabah, atas tuduhan palsu dan cubaan menjatuhkan reputasi dan nama baiknya, sebagai presiden MPS.

Menurutnya, beliau membuat laporan polis itu pada 22 Feb lepas meminta polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menyiasat dan mengambil tindakan terhadap laporan polis oleh pergerakan parti itu pada 21 Feb lepas yang dimuat naik ke laman media sosial.

“Kandungan kertas laporan polis yang dibuat Pemuda Umno Sabah itu tular di media sosial, terutamanya melalui aplikasi Whatsapp, telah menjejaskan reputasi saya selaku presiden MPS dan nama baik MPS sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hii berkata keputusannya membuat laporan polis itu adalah untuk menjaga dan memulihkan semua reputasinya dan MPS.

Tegasnya, beliau akan mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman terhadap individu berkenaan melalui peguamnya, menjaga haknya serta menyedarkan supaya tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan palsu dan memfitnah orang.

Pada 21 Feb lepas, Pemuda Umno Sabah membuat laporan polis di sini agar Hii disiasat atas dakwaan salah guna kuasa sebagai presiden MPS.

— BERNAMA