Pertikai Bersatu di Sabah, Kenny perlu diambil tindakan – Khairuddin

KUALA LUMPUR: Tindakan Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Kenny Chua yang menghina Tun Dr Mahathir Mohamad di laman Facebooknya dianggap biadab dan tidak boleh diterima.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, gelagat kurang ajar Kenny terhadap perdana menteri tidak harus dipandang remeh oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri.

“Mohd Shafie harus menegur dan mengambil tindakan tegas ke atas Kenny yang tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan kesat kepada Dr Mahathir.

“Kenny seperti tidak berpuas hati dengan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hendak masuk ke Sabah.

“Itu adalah hak mana-mana parti politik untuk bergerak aktif di mana-mana negeri. Ia tidak menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Kenny dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat di catatan Facebooknya. Ia reaksi susulan Dr Mahathir untuk mengembangkan sayap Bersatu ke Sabah.

Tegas Khairuddin, Parti Warisan Sabah (WARISAN) juga dipersilakan untuk datang malah bergerak aktif di Semenanjung.

“Tidak ada masalah langsung. Cuma itu hak rakyat sama ada hendak menyertainya ataupun tidak.

“Kenapa Kenny seperti tidak faham. Dia sepatutnya bersifat ilmiah, rasional serta profesional. Jangan ikut hati kerana ianya boleh membawa mati.

“Sebagai seorang pemimpin, Kenny harus menunjukkan teladan yang baik. Dia bukan gangster tetapi seorang pemimpin politik,” jelasnya.

Tambahnya, Mohd Shafie harus segera mengambil tidakan terhadap Kenny.

“Seandainya Mohd Shafie tidak bertegas dengan pembantunya, ia juga membawa erti Ketua Menteri Sabah merangkap menteri kewangan negeri itu merestui tindakan Kenny.

“Kenny tidak layak untuk jadi pemimpin. Kita tunggu reaksi Mohd Shafie dalam isu ini,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Shafie beberapa kali berharap Bersatu tidak akan masuk ke Sabah susulan ura-ura ia akan melebarkan sayapnya ke negeri ini dan bakal disertai beberapa bekas wakil rakyat UMNO.

Bagaimanapun baru-baru ini, Mohd Shafie Apdal berkata, mereka tidak boleh menghalang Bersatu jika parti itu benar-benar berhasrat melebarkan sayap ke negeri itu. – Astro Awani


553