Terjun lumpur elak dicekup polis

Salah seorang suspek meredah lumpur untuk melarikan diri. (Gambar kecil) Antara suspek berjaya ditahan polis. Foto PDRM

BEBERAPA individu disyaki penagih dadah nekad meredah hutan bakau berlumpur untuk melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis dalam Op Sarang di Kampung Suang Parai dan Delima, Manggatal, semalam.

Bagaimanapun, tindakan mereka cuba melarikan diri hanya sia-sia apabila berjaya ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam operasi bermula jam 2 petang dan berakhir jam 7 malam, pihaknya berjaya menahan seramai 20 individu termasuk seorang wanita disyaki terbabit dalam kegiatan judi.

“Seramai 12 individu termasuk seorang wanita berusia 14 hingga 51 tahun ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Lapan daripadanya ditahan mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala tiga lelaki dan seorang wanita disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1958/63 dan Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi 1953,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Habibi berkata, polis turut merampas beberapa barangan antaranya telefon bimbit dan wang tunai.

“Ketika serbuan, ada suspek cuba melarikan diri dengan meredah hutan bakau yang berlumpur. Selain itu, lokasi serbuan seperti jambatan rapuh dan banyak penyambungan elektrik haram membahayakan keselamatan anggota ketika melakukan serbuan.

“Namun situasi ini tidak menghalang tugas polis dalam usaha memastikan kegiatan berkaitan dadah di kawasan ini dibendung sepenuhnya,” katanya.

Tambahnya, usaha membanteras pengedaran dadah di daerah ini akan diperhebat dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa termasuk mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah.

“Operasi dilaksanakan demi kesejahteraan dan ketenteraman penduduk sekitar daerah ini.

“Orang ramai dialu-alukan untuk membantu polis menyalurkan maklumat berkaitan jenayah narkotik ini supaya aktiviti dadah dapat dibanteras dengan berkesan,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *