Mayat Pemancing Ditemui Di Pantai Kampung Melinsung

Anggota bomba mengusung mayat Nhurhajer. Foto Ihsan Bomba

MAYAT lelaki dipercayai lemas ketika memancing ditemui terapung oleh sekumpulan nelayan di pesisir pantai Kampung Melinsung, Papar, pagi hari ini.

Berdasarkan dokumen pengenalan yang ditemui dalam poket seluar mangsa, lelaki itu dikenal pasti sebagai Nhurhajer Mubin, 25, beralamat di Kampung Kalansanan, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, mayat yang lengkap berpakaian itu ditemui dalam keadaan fizikalnya sudah mula mengembung.

“Ahli keluarga mangsa yang dihubungi memaklumkan kepada polis bahawa kali terakhir mangsa dilihat empat hari lalu ketika hendak keluar memancing.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Papar menggunakan kenderaan polis untuk tujuan bedah siasat bagi mendapatkan laporan kematian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Batholomew turut menggesa orang ramai supaya segera membuat laporan polis jika ada ahli keluarga yang hilang.

Operasi membawa mangsa dari pantai turut dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Papar serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Papar dan sekumpulan nelayan tempatan.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR). – Harian Metro

Anggota bomba mengusung mayat Nhurhajer. Foto Ihsan Bomba

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *