Polis tahan pasangan pengedar dadah di Lahad Datu

SUSPEK suami isteri yang diberkas polis bersama 13 paket dadah jenis syabu. – Foto IHSAN POLIS.

LAHAD DATU: Cubaan suami isteri disyaki pengedar dadah untuk melarikan diri dengan merempuh sepasukan polis gagal apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Silam di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, wanita berusia 38 tahun dan suaminya, 41, diberkas polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bersama 13 paket dadah jenis syabu bernilai RM4,878.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata hasil maklumat dan risikan berkaitan pengedaran dadah, sepasukan polis dihantar ke lokasi itu untuk menjalankan pemeriksaan.

“Anggota polis kemudian menemui pasangan itu di sebuah bilik tertera tulisan nombor dua.

“Suami isteri itu cuba merempuh polis yang berada di hadapan pintu bilik berkenaan untuk melarikan diri, namun berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nasri berkata, suspek wanita pada awalnya menyembunyikan sesuatu di belakangnya, namun selepas didesak, dia akhirnya menyerahkan sebuah beg dompet berisi 13 paket jernih berisi hablur disyaki dadah.

“Berat dadah syabu yang dirampas dianggarkan 32.52 gram dan bernilai RM4,878.

“Polis turut merampas 10 gulung kertas timah, penyedut plastik dan sekeping gambar,” katanya sambil menambah pasangan itu dilaporkan sudah dua tahun menjadi pengedar dadah.

Menurutnya lagi, kedua-dua suspek direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *