Peniaga Tamu Takada enggan pindah

SEBAHAGIAN peniaga Pasar Tamu Takada di Tawau berhimpun secara aman sebagai membantah arahan berpindah ke lokasi baharu ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

TAWAU: Kira-kira 100 peniaga Tamu Takada, di sini berhimpun secara aman pagi ini bagi membantah arahan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang meminta mereka berpindah ke lokasi baharu dalam masa terdekat.

Difahamkan, majoriti peniaga tidak bersetuju dengan arahan itu dan enggan berpindah selain menyifatkan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sebagai langkah yang tidak sesuai.

Berdasarkan surat dikeluarkan syarikat konsesi yang bertanggungjawab menguruskan pasar mingguan itu, operasi Tamu Takada akan ditamatkan pada 3 Mac ini dan peniaga tidak lagi dibenarkan menjalankan perniagaan selepas diarahkan berpindah oleh MPT.

Jurucakap peniaga, Hussien Ahmad, 53, berkata mereka kecewa dengan cadangan MPT yang mahu memindahkan Tamu Takada yang sudah beroperasi lebih 30 tahun itu, yang menjadi punca rezeki mereka sejak sekian lama.

“Ada lebih 800 peniaga di sini terdiri daripada pelbagai kaum termasuk yang datang dari Merotai, Balung dan Apas, malah ada yang datang dari Kalabakan untuk mencari rezeki.

“Jadi, kami bertegas untuk terus kekal di sini dan meneruskan operasi perniagaan seperti biasa,” katanya ketika ditemui BH di sini, hari ini.

Seorang lagi peniaga, Razlina Mat Nor, 56, berkata mereka tidak menghalang jika MPT mahu mewujudkan lokasi baharu iaitu Tamu Sabindo Street, sama seperti Gaya Street di Kota Kinabalu sebagai tarikan pelancongan, namun Tamu Takada perlu dikekalkan.

“Lokasi Tamu Takada amat strategik dan mendapat sambutan daripada penduduk setempat. Jadi, ia wajar dikekalkan. Kami amat berharap MPT memahami perkara ini,” katanya.

Bagi Badar Hayani Mohd Barak, 54, masalah kesesakan lalu lintas dan isu sampah yang dibangkitkan tidak timbul kerana mereka turut menyediakan tong sampah selain mendapat kerjasama pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk mengawal lalu lintas.

“Kami juga sudah memanjangkan isu ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Datuk Jimmy Wong Sze Phin, supaya arahan berpindah ini dikaji semula,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati pengunjung mahu pasar yang hanya beroperasi setiap hari Ahad itu dikekalkan.

Bagi Salmiah Salleh, 58, selain faktor lokasi, tamu itu juga menjual pelbagai barang keperluan harian pada harga murah lagi berpatutan.

“Saya suka berbelanja di sini pada hujung minggu kerana banyak pilihan, ada sayur, ikan dan ketam yang segar,” katanya. – Berita Harian

SEBAHAGIAN peniaga Pasar Tamu Takada di Tawau berhimpun secara aman sebagai membantah arahan berpindah ke lokasi baharu ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
SEBAHAGIAN peniaga Pasar Tamu Takada di Tawau berhimpun secara aman sebagai membantah arahan berpindah ke lokasi baharu ditetapkan pihak berkuasa tempatan.