600 kg hasil tuaian ikan tagal

PENDUDUK menunjukkan ikan yang ditangkapnya di Kampung Raganan, Kiulu. – Foto Recqueal Raimi

TUARAN: Kira-kira 600 kilogram pelbagai jenis ikan dituai penduduk Kampung Raganan, Kiulu, di sini, ketika acara menangkap ikan di sungai yang dijaga menerusi sistem adat iaitu larangan penangkapan ikan sesuka hati, dikenali sebagai bombon atau tagal, di sini, baru-baru ini.

Kegiatan dikenali sebagai `mongukab tagal’ dalam bahasa Dusun yang bermaksud membuka tagal itu diadakan setahun sekali membabitkan semua penduduk kampung dengan kebiasaannya dibuat ketika musim kemarau berikutan paras air sungai lebih cetek.

Penduduk, Janius Ikat, 49, berkata acara yang diadakan sejak tahun 1980-an itu umpama acara menyambut ketibaan musim kemarau dan ia sentiasa ditunggu-tunggu penduduk kampung bagi melihat hasil sungai yang dipelihara selama setahun.

“Setiap kali mongukab tagal diadakan, ia tidak pernah menghampakan penduduk kerana hasil yang diperoleh mencecah ratusan kilogram dan semuanya dibahagikan sama rata kepada setiap keluarga di kampung.

“Bagi tahun ini saja, kira-kira 600 kilogram ikan berjaya dituai dan ia dibahagikan kepada 50 keluarga. Pelbagai jenis ikan ada, seperti pelian (kelah) dan lampam, malah kali ini ada seekor sinsilog (belut sungai) seberat 6.4 kilogram berjaya ditangkap,” katanya, di sini.

ANTARA hasil yang diperolehi penduduk sempena acara ‘mongukab tagal’ di Kampung Raganan, Kiulu. – Foto Recqueal Raimi

Katanya, kegiatan itu bukan semata-mata untuk menuai hasil sungai, malah ia juga adalah acara `balik kampung’ bagi penduduk yang tinggal di bandar untuk sama-sama memeriahkan suasana atau riadah bersama keluarga dan penduduk kampung.

“Kemeriahan menangkap ikan bukanlah kerana hasil tangkapan yang lumayan, sebaliknya kerjasama semua penduduk yang bersatu-padu menyebabkan semua gembira dengan acara ini,” katanya.

Bombon atau tagal adalah amalan tradisi masyarakat Kadazandusun di negeri ini untuk memelihara sungai daripada ancaman lampau tuai atau apa saja kegiatan yang merosakkan hidupan sungai.

Menerusi amalan itu, orang ramai tidak dibenarkan menangkap ikan sesuka hati di sungai yang dipelihara dan jika didapati melanggar peraturan, seseorang boleh disogit (denda) mengikut peruntukan sistem adat di sesuatu kampung.

Amalan itu dapat memastikan ikan dapat membiak tanpa gangguan untuk menjamin pembiakan ikan yang berterusan, manakala kegiatan menangkap ikan hanya dibenarkan setahun sekali secara beramai-ramai berdasarkan persetujuan penduduk. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *