Lelaki Maut Motosikal Bertembung Alza Di Beaufort

Mayat seorang lelaki yang maut selepas motosikal ditungganginya bertembung sebuah kenderaan jenis Perodua Alza. – Gambar Ihsan IPD Beaufort


KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza di Jalan Luagan, Kampung Luagan, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa Chong Chee Kiong, 35, meninggal dunia di lokasi kemalangan ekoran mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Beaufort, Deputi Superitendan Azmir Abd Razak berkata siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila kemderaan Perodua Alza berwarna putih yang dipandu seorang wanita dalam perjalanan daripada pekan Beaufort menuju ke Kampung Luagan manakala mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan daripada kampung sama menuju ke pekan Beaufort.

“Apabila sampai di kawasan selekoh, lelaki terbabit dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan dipandu wanita berusia 38 tahun yang datang dari arah hadapan.

“Akibat bertembungan itu, penunggang motosikal jenis Honda Wave maut manakala pemandu wanita terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kereta Perodua Alza itu mengalami kerosakan di bahagian depan sebelah kanan dan motosikal mangsa mengalami kerosakan  teruk di bahagian depan,” katanya.

Azmir berkata hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati punca kemalangan adalah disebabkan penunggang motosikal yang memasuki laluan bertentangan lalu menyebabkan kemalangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SabahNewsToday

Mangsa yang maut selepas motosikal ditungganginya bertembung sebuah kenderaan jenis Perodua Alza di Jalan Luagan, Kampung Luagan. – Gambar Ihsan IPD Beaufort
Keadaan Perodua Alza yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Luagan, Kampung Luagan. – Gambar Ihsan IPD Beaufort