Seksa anak kerana tidak sayang

Eylil Miray, bayi yang di dera oleh ibunya. Foto Agensi

ANKARA: Seorang wanita tergamak menyuntik cecair peluntur dan sabun ke dalam tubuh bayinya dan mencederakan mangsa dengan pisau pencukur dengan alasan sudah tidak lagi menyayangi anaknya itu.

Kejadian yang dilaporkan berlaku di Istanbul, Turki baru-baru ini, terbongkar apabila wanita terbabit, Elif K menyerah diri kepada polis dan membuat pengakuan itu selepas kali ketiga anaknya yang berusia 18 bulan, Eylul dimasukkan ke hospital, lapor Daily Mail.

Dia yang dihadapkan ke mahkamah, didapati bersalah atas tuduhan itu, tetapi hukuman terhadapnya akan diputuskan kemudian.

“Saya menyeksanya kerana tidak mempunyai perasaan sayang terhadap anak. Saya menyuntik peluntur dan cecair sabun ke dalam telinga, hidung dan pusat hingga dia berdarah.

“Saya membawanya ke hospital untuk diberi rawatan namun, saya terus menyeksanya semula,” katanya kepada pendakwa raya.

Sebelum kejadian itu, suaminya, Eray K menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan anak bongsunya apabila sering sakit dan merujuknya ke hospital selepas didapati mengalami pendarahan dari telinga dan pusat serta lebam seluruh badan.

Keadaan kesihatan bayi itu yang semakin teruk menyebabkan wanita terbabit disiasat dua kali tetapi dilepaskan sebelum dia akhirnya menyerah diri kepada polis. – Agensi