Siapa ketuai BERSATU di Sabah dijangka diketahui akhir minggu ini

Datuk Azizah Mohd Dun

KOTA KINABALU: Siapa pemimpin yang bakal menerajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Sabah dan bila parti itu mula bertapak secara rasmi di negeri ini dijangka terjawab akhir minggu ini atau minggu depan.

Bekas pemimpin UMNO Sabah yang mahu menyertai parti itu memberitahu BH, semua persoalan mengenai kedudukan BERSATU termasuk bila ia dilancarkan akan terjawab selepas 23 Februari ini.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, ketika dihubungi bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai apa yang berlaku, termasuk mengenai pemimpin yang akan mengetuai BERSATU di negeri ini.

“Tunggu sajalah selepas 23 Februari ini, kita tahu semua orang termasuk media mahu mengetahui apa yang akan berlaku, tapi sabarlah. Semua akan diketahui selepas 23 Februari ini,” katanya di sini, hari ini.

Azizah adalah antara lima Ahli Parlimen dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar UMNO pada akhir tahun lalu dan menyatakan hasrat menyertai BERSATU.

Difahamkan, tarikh 23 Februari ada kaitan dengan mesyuarat mengenai BERSATU yang dijadual dihadiri semua Ahli Parlimen dan ADUN terbabit.

Sebelum ini, ADUN Sulaman, Datuk Hajiji Noor yang mengetuai bekas wakil rakyat UMNO Sabah itu disebut sebagai pemimpin yang bakal mengetuai BERSATU di Sabah.

Sementara itu, ADUN Karanaan, Datuk Masidi Manjun, mengesahkan satu mesyuarat akan diadakan namun belum ada kata putus mengenai tarikhnya, selain tidak mendedahkan lokasi mesyuarat berkenaan.

“Tarikh mesyuarat belum dimuktamadkan kerana Hajiji belum balik dari umrah,” katanya dalam maklum balas melalui WhatsApp.

Hajiji ketika ini menunaikan umrah dan sumber memberitahu BH beliau akan kembali ke Sabah pada 25 Februari ini.

Namun, difahamkan beliau mungkin mengambil penerbangan pulang lebih awal dan singgah di Kuala Lumpur kerana mesyuarat itu dikatakan akan diadakan bersama Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada 15 Februari lalu, Dr Mahathir mengumumkan keputusan BERSATU itu walaupun sebelum ini Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang mengetuai kerajaan negeri berharap ia tidak ke Sabah, sejajar persefahaman sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden WARISAN, Datuk Mohd Shafie Apdal, ketika sidang media mengenai kemasukan BERSATU pada Isnin lalu, bagaimanapun menjelaskan pihaknya tidak dapat menghalang keputusan BERSATU untuk ke Sabah.

Selain bekas wakil rakyat UMNO, kemasukan BERSATU turut dialu-alukan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) diketuai Datuk Lajim Ukin dan beliau mengumumkan akan membubarkan Harapan Rakyat bagi membolehkan 64,000 ahli partinya menyertai BERSATU. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *