Suspek curi kabel dicekup

Antara kabel elektrik dirampas selepas menahan seorang lelaki disyaki mencuri di kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), semalam. – Foto Rqcqueal Raimi

TUARAN: Seorang lelaki ditahan manakala dua rakan subahatnya berjaya melarikan diri selepas disyaki mencuri kabel elektrik di kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, semalam.

Kejadian itu disedari oleh pekerja projek elektrik di kawasan berkenaan yang kemudiannya memaklumkan kejadian kepada penyelia projek mereka, jam 1.30 tengah hari.

Susulan itu, salah seorang suspek ditahan oleh pekerja di tapak projek berkenaan manakala dua lagi suspek melarikan diri meninggalkan rakannya.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata sebaik menerima panggilan daripada penyelia di tapak projek KKIP itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi dan menahan seorang lelaki disyaki terbabit kes curi kabel elektrik.

“Pemeriksaan lanjut, polis turut menemui sejumlah kabel elektrik yang siap dipasang telah dipotong disyaki dilakukan oleh lelaki terbabit.

“Kabel elektrik yang dipotong itu belum berfungsi dan dianggarkan kerugian hampir RM10,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, lelaki berusia 19 tahun kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk siasatan lanjut.

“Siasatan akan diteruskan termasuk mengesan dua lagi suspek yang dipercayai melarikan diri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.- Berita Harian

298