Padah suami, isteri bergaduh dikhalayak ramai

Pelancong China diberi amaran agar mengelakkan pergaduhan antara pasangan agar pasangan mereka tidak dikenakan tindakan serius di Amerika Syarikat termasuk caj keganasan rumah tangga. – Foto Weibo

PADAH bergaduh di khalayak ramai di New York, satu pasangan suami isteri dari China tidak dapat pulang ke negara mereka mengikut jadual selepas ditahan kerana di Amerika Syarikat, pergaduhan itu dianggap jenayah rumah tangga.

Menurut laporan South China Morning Post, seorang wanita dikenali sebagai Zhang meminta bantuan Konsulat China di New York kerana suaminya ditahan polis selepas mereka bergaduh hingga berlaku pergelutan di luar hotel di bandar raya itu.

Dua pejalan kaki yang menyaksikan kejadian itu melaporkannya kepada polis dan suami Zhang ditahan polis Amerika atas tuduhan melakukan keganasan rumah tangga.

Akibatnya, pasangan terbabit terpaksa menangguhkan kepulangan ke China kerana si suami berhadapan proses undang-undang, termasuk memohon jaminan, kes didengar di mahkamah dan melantik peguam.

Berikutan itu, Konsulat China di New York mengeluarkan nasihat kepada rakyat negara terbabit supaya menjaga tingkah laku, tidak bertengkar atau bergaduh ketika berada di Amerika.

Konsulat dalam kenyataan melalui WeChat, mengingatkan pergaduhan antara pasangan di Amerika bukan perkara kecil domestik dianggap keganasan rumah tangga yang dikendalikan secara serius oleh polis.

Kenyataan itu menegaskan sukar untuk menarik balik dakwaan keganasan rumah tangga di Amerika walaupun mangsa mahu menggugurkannya.

“Dakwaan itu mungkin menyebabkan implikasi berat undang-undang, termasuk perintah menghalang pasangan untuk hidup bersama dalam jangka masa tertentu.

“Sebelum ke Amerika, pelancong China perlu memahami undang-undang, peraturan dan perbezaan budaya negara itu,” katanya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *