130 dibunuh, kampung dibakar

Rombongan Gabenor Kaduna meninjau lokasi mayat ditemui ketika melawat salah satu perkampungan etnik Faluni yang diserang di negeri itu. Foto Agensi

Abuja, Nigeria: Lebih 130 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam serangan kumpulan bersenjata terhadap etnik Fulani di Kaduna, Nigeria, minggu lalu, bukannya 66 orang seperti dilaporkan sebelum ini.

Mereka dibunuh kejam, termasuk dibariskan di tepi sungai sebelum ditembak manakala rumah dan ladang dibakar.

Pihak berkuasa yang tiba selepas kejadian menemui mayat, termasuk wanita dan kanak-kanak bergelimpangan di perkampungan terbabit.

Reuters melaporkan, Gabenor Kaduna, Nasir el-Rufai berkata, semalam, serangan itu bertujuan ‘menghapuskan komuniti tertentu’ namun tidak memberi penjelasan lanjut.

Sebahagian besar mangsa yang dibunuh dalam serangan itu adalah daripada kumpulan etnik Fulani yang biasanya beragama Islam dan sudah lama terbabit dalam perbalahan dengan etnik Adara yang kebanyakannya beragama Islam.

“Lebih banyak siasatan polis terhadap serangan ini, lebih jelas menunjukkan ia adalah rancangan bagi menghapuskan masyarakat tertentu,” kata Nasir.

NIGERIA meningkatkan kawalan keselamatan berikutan ketegangan etnik memuncak menjelang pilihan raya. FOTO Agensi

Penduduk tempatan menyatakan serangan berlaku pada Isnin minggu lalu, walaupun laporan rasmi menyatakan ia terjadi beberapa hari kemudian. Serangan itu diumumkan Jumaat lalu, sehari sebelum kerajaan Nigeria menangguhkan pilihan raya umum selama seminggu.

Menurut penduduk, serangan itu seperti serangan yang berlaku Oktober tahun lalu.

“Mereka menyerbu perkampungan, membunuh lelaki, wanita dan kanak-kanak serta membakar rumah,

“Adaras (etnik) mungkin mahu membalas dendam terhadap pembunuhan 11 orang mereka,” kata Usman Kafara yang terselamat dalam serangan itu.

Dalam serangan Oktober tahun lalu, 55 terbunuh dalam kejadian yang dianggap penduduk sebagai ‘perang agama’ antara masyarakat Islam dan Kristian di Kasuwan Magani, Kajuru, juga di negeri Kaduna.

Nigeria, negara Afrika paling ramai penduduk iaitu 190 juta orang dengan jumlah penganut Islam dan Kristian hampir sama banyak selain ada 250 kumpulan etnik yang selama ini hidup aman. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *