BERSATU masuk Sabah: ‘Tunggu esok’

Darell menjawab pertayaan media. Foto Kharull Azry Bidin

Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking berkata, kepemimpinan parti itu menyerahkan kepada Mohd Shafie untuk membuat kenyataan dan keputusan, termasuk berhubung status bekas pemimpin UMNO yang dijangka menyertai BERSATU, sama ada mereka dianggap wakil rakyat dalam kerajaan Sabah.

Beliau berkata, kepemimpinan WARISAN tidak mengadakan sebarang perjumpaan susulan perkembangan terbaru itu, namun beliau sentiasa berhubung dengan Mohd Shafie termasuk berjumpa pagi tadi.

“(Bagaimanapun) tiada cakap pasal perkembangan terbaru ini sebab beliau (Mohd Shafie) sibuk kerja untuk pastikan Sabah selamat daripada ‘evil people’ (orang jahat),” katanya selepas melancarkan MARii Satelit Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi BERSATU mengumumkan keputusan parti itu untuk mengembangkan sayap ke Sabah.

Pada masa sama, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor mengesahkan lima Ahli Parlimen dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar UMNO pada Disember lalu, sudah menyerahkan borang keahlian untuk menyertai BERSATU.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, BERSATU mencapai persefahaman dengan WARISAN yang parti itu tidak akan masuk ke Sabah, sebaliknya WARISAN menjadi rakan Pakatan Harapan (PH) untuk mendapat sokongan rakyat Sabah.

Sebelum ini, Mohd Shafie beberapa kali berharap BERSATU tidak akan masuk ke Sabah susulan ura-ura ia akan melebarkan sayapnya ke negeri ini dan bakal disertai beberapa bekas wakil rakyat UMNO.

Mengulas lanjut, Darell berkata, tidak akan berlaku perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri, di sebalik kemasukan BERSATU ke Sabah yang dijangka disusuli penyertaan bekas wakil rakyat UMNO.

“Tiada apa-apa perubahan sebab kerajaan negeri hari ini ada lebih 40 wakil rakyat di bawahnya… terserah kepada Ketua Menteri (sama ada ADUN BERSATU di Sabah dianggap wakil rakyat kerajaan).

“Tun Dr Mahathir cakap (bekas Ahli Parlimen UMNO) di Semenanjung tidak akan dapat apa-apa jawatan di (kerajaan) Persekutuan.

“Di Sabah bukan Dr Mahathir menentukan siapa di Kabinet (negeri), ia terserah kepada Ketua Menteri,” katanya.

Ditanya sama ada beliau tahu siapa bekas wakil rakyat UMNO Sabah yang akan menyertai BERSATU, Darell berkata, apa yang beliau tahu mereka adalah individu yang menentang WARISAN pada PRU-14.

“Setakat yang saya tahu mereka adalah kerajaan yang kita kalahkan dalam PRU-14. Sekarang mereka cari peluang melalui parti tertentu untuk masuk kerajaan,” katanya. – Harian Metro