Jadi hamba jiran dari neraka

Kate(kiri) dan Karen yang lebam dimuka selepas dipaksa menjadi hamba. – FOTO/DAILY MAIL

London: Seorang wanita dan anak perempuannya yang kurang upaya mental diselamatkan polis selepas dikurung dan dijadikan hamba selama tiga minggu oleh jiran mereka, warga emas berkerusi roda yang disifatkan bersifat sadis.

Kate Dagley, 46, dan Karen Jenkins, 27, yang masing-masing mempunyai masalah pembelajaran, ditemui dalam keadaan kurus kering dan lebam selepas dipaksa menjadi hamba wanita itu, Jean Kelly, 54, di Coventry antara Januari hingga Februari 2016.

Mereka menawarkan bantuan untuk Kelly kerana simpati wanita itu berkerusi roda. Sebaliknya, mereka dikurung keluarga Kelly yang memukul dan mengebulurkan mereka serta memaksa mereka melakukan kerja rumah.

Mereka cuma ‘dibayar’ dengan sebatang rokok selain diberi sisa makanan. Kelly juga sering memukul mereka menggunakan kayu besbol yang diberi nama ‘Bob.’

JEAN (berkerusi roda) yang menyeksa Kate dan Karen. FOTO/DAILY MAIL

Sepanjang tiga minggu, dua beranak itu dipisahkan dan dikurung di dua rumah berbeza.

Mereka akhirnya diselamatkan polis selepas jiran lain terdengar Kate menangis meminta tolong.

Dua beranak itu dimasukkan ke hospital dengan pelbagai kecederaan termasuk retak tulang dan lebam di seluruh badan. Doktor juga bimbang mereka tidak lagi dapat makan kerana terlalu kebuluran.

Kelly, suaminya Michael dan teman lelaki anaknya, Ian Healy, 29, dipenjara 14 tahun kerana bersubahat mengurung mangsa, mencederakan dua beranak itu serta memaksa mereka melakukan kerja berat.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Anthony Potter berkata, penderaan mangsa terlalu kejam.

“Mengejutkan apabila ada orang yang sanggup berbuat begini di Great Britain pada zaman ini,” katanya. – Agensi