SESB gesa pemimpin masyarakat lapor kegiatan curi elektrik

KOTA KINABALU, 13 Feb – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menggesa pemimpin masyarakat di setiap kawasan mahupun orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat yang melibatkan aktiviti penyambungan elektrik secara haram di kawasan masing-masing.

Pengurus Besar (Komunikasi Korporat) SESB, Chendramata Sinteh berkata SESB amat komited untuk membanteras aktiviti itu terutamanya di kawasan setinggan.

“SESB telah menjalankan operasi bersepadu di dua buah lokasi di kawasan Sepanggar dan pemeriksaan mendapati kawasan berkenaan aktif membuat penyambungan haram dan wayar-wayar sambungan dirampas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chendramata berkata operasi itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi penguatkuasa lain antaranya Suruhanjaya Tenaga, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Imigresen.

Beliau berkata SESB akan terus melaksanakan operasi itu secara berkala agar dapat membendung kegiatan berkenaan.

— BERNAMA