‘Jerangkung’ dalam almari

Swofford yang ditemui bersembunyi dalam almari pakaian di rumah seorang wanita. FOTO Agensi

GREENSBORO (Amerika Syarikat): Seorang wanita yang menyangka rumahnya berhantu selepas barangannya sering beralih tempat dan hilang terkejut apabila menemui seorang lelaki bersembunyi di dalam almari serta memakai pakaiannya.

Wanita itu yang dikenali sebagai Maddie berkata, barangan termasuk bajunya sering hilang dan dia selalu menemui kesan tapak tangan pada cermin serta dinding di apartmen yang disewa bersama seorang rakannya.

Maddie yang juga pelajar di Universiti North Carolina memberitahu, kejadian itu berlaku selama beberapa minggu dan dia menyangka bahawa apartmen berkenaan berhantu.

Bagaimanapun, pada 2 Februari lalu dia mendapati ‘gangguan’ itu bukannya berpunca daripada hantu tetapi sesuatu yang lebih menakutkan iaitu seorang lelaki pelik yang bersembunyi di dalam almari.

“Saya terdengar bunyi pelik di dalam almari pakaian saya seperti ada haiwan di dalamnya. Apabila saya membuka almari itu saya terkejut apabila menemui seorang lelaki di dalamnya.

“Lelaki itu memakai pakaian, stoking, kasut dan dia juga memegang beg yang penuh dengan baju saya,” katanya kepada agensi berita Fox8.

Menurutnya, dia menghubungi teman lelakinya untuk meminta bantuan dan penceroboh terus melarikan diri apabila kekasihnya tiba di rumah.

Lelaki itu kemudiannya ditahan polis di sebuah apartmen berhampiran dan suspek dikenali sebagai Andrew Swofford berusia 30 tahun.

Pada Isnin lalu, Swofford dipenjara kerana gagal membayar wang jaminan berjumlah AS$26,000 (RM105,720) selepas didakwa atas 14 tuduhan menceroboh dan mencuri.

Walaupun misteri di rumahnya berjaya diselesaikan, Madie dan polis masih tidak tahu bagaimana lelaki berkenaan boleh masuk ke kediaman itu.

Pihak pengurusan apartmen memberitahu, pintu rumah wanita itu sentiasa berkunci dan tiada tanda ia dipecahkan. – Agensi

333