Polis tahan pasangan suami isteri, rampas syabu lebih 2 kilogram

GAMBAR BERITA RTM SABAH

KOTA KINABALU, 7 Feb – Polis menahan pasangan suami isteri dan merampas dadah dipercayai syabu seberat 2.137  kilogram bernilai RM108,000 dalam satu operasi di Labuan, 5 Feb lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata pasangan suami isteri berusia lingkungan 20-an berkenaan ditahan dalam satu operasi membanteras aktiviti jenayah di sekitar bandar Labuan yang  bermula kira-kira pukul 3.30 petang sehingga pukul 9.30 pagi.

“Semasa operasi berkenaan anggota polis melihat pasangan suami isteri berkenaan berlegar-legar di kawasan pasar dengan membawa dua beg kain.

Pemeriksaan terhadap beg kain yang dibawa suspek mendapati beberapa bungkusan  yang  mengandungi 42 paket lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 2.137 kilogram,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek warga tempatan berkenaan membawa masuk syabu berkenaan daripada Kota Kinabalu dan untuk pasaran di sekitar Labuan.

Omar berkata rampasan berkenaan adalah yang terbesar untuk tahun ini dan operasi membanteras dadah akan terus diperhebatkan lagi di semua kawasan di seluruh Sabah.

“Hasil operasi  agresif yang kita jalankan sejak 1 Jan hingga semalam, kita telah berjaya menahan 1,692 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan 132 daripada jumlah berkenaan adalah pengedar dadah. Oleh itu kita meminta orang ramai terus memberikan maklumat sekiranya melihat ada aktiviti dadah di kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Omar berkata sejak 1 Jan hingga semalam pihaknya berjaya merampas sembilan senjata api buatan sendiri atau  “bakakuk” dan memberkas 17 individu yang dipercayai terlibat dengan kes senjata api haram berkenaan.

 “Rampasan bakakuk berkenaan dilakukan di beberapa daerah di seluruh Sabah. Pemilikan atau penyimpanan bakakuk adalah haram kerana tidak dilesenkan dan pemiliknya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. Oleh itu kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya segera membuat laporan di balai polis terdekat,” katanya.

— BERNAMA

GAMBAR BERITA RTM SABAH
GAMBAR BERITA RTM SABAH
404