Maut dikoyak 11 anjing liar

Petikan rakaman CCTV menunjukkan wanita dikejar sekumpulan anjing liar di Mexico sebelum dibaham sampai mati. – Daily Mail

Tecamac, Mexico: Seorang wanita pekerja tol lebuh raya di sini, maut selepas dikejar 11 anjing liar yang kemudian menerkam dan mengoyakkan tubuhnya hingga mati.

Rakaman CCTV kejadian yang berlaku pada 28 Januari lalu, kini tular di media sosial.

Wanita itu dikenali sebagai Margarita N, 34, dilihat berlari ketakutan akibat dikejar kumpulan anjing terbabit sebelum jatuh dan terkeluar dari lensa kamera.

Daily Mail melaporkan, menurut laporan media Mexico, anjing terbabit mengoyakkan tubuh mangsa hingga mati.

Mayatnya ditemui dengan sebahagian besar daging hilang dan rambut tercabut bersama kulit kepala.

Margarita dikatakan sedang melintas jalan menuju ke pondok tol tempatnya bekerja ketika kejadian.

Datuk Bandar Tecamac mengarahkan pihak berkuasa mengesan anjing terbabit untuk dihapuskan. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *