Sokongan berterusan rakyat, pelabur bantu bangunkan Sabah

YANG di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memerlukan sokongan dan kerjasama daripada rakyat termasuk pelabur di negeri ini dalam usaha membangunkan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ini bagi memastikan ekonomi negeri ini dapat dibangunkan sekali gus berupaya memberi peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Untuk membangunkan Sabah, kita memerlukan sokongan dan kerjasama daripada rakyat serta pelabur. Saya tahu ramai pelabur di Sabah yang boleh membantu kita membangunkan negeri ini.

“Pada tahun ini juga, saya akan membuat lawatan ke beberapa negara seperti Jepun, China dan Eropah, yang bukan hanya terhad untuk mempromosikan pelancongan malah peluang pelaburan di Sabah.

“Saya yakin dengan kedudukan Sabah sebagai antara negeri yang stabil di negara ini mampu terus mencipta kejayaan dan meyakinkan pelaburan asing dengan komitmen serta sokongan pelabur tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri di sini hari ini.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni turut hadir sebagai tetamu kehormat.

Yang turut hadir isteri Ketua Menteri, Datin Seri Shuryani Shuaib dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew.

Mohd Shafie berkata, dengan adanya pekerjaan untuk rakyat kerajaan tidak perlu lagi memberikan bantuan sara hidup (BSH) kepada rakyat sebaliknya mereka mampu untuk menampung dan menyara ekonomi serta bersama kerajaan membangunkan Sabah.

Mengenai rumah terbuka itu, Mohd Shafie berkata perayaan itu bukan hanya disambut oleh masyarakat Cina tetapi ia juga menjadi landasan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum mengeratkan perpaduan.

“Sesebuah negeri tidak akan membangun jika asyik menimbulkan masalah berkaitan kaum dan agama, sebaliknya kita perlu bercerita bagaimana mahu membangunkan negeri ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Christina berharap pelancong yang melawat Sabah dalam cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina ini berpeluang melihat konsep rumah terbuka perayaan berkenaan.

“Sabah telah menjadi destinasi yang popular kepada pelancong apabila tiba cuti panjang seperti Tahun Baharu Cina. Saya harap pelancong dapat bersama meraikan perayaan ini,” katanya. – Berita Harian

319