Dua rumah pekerja ladang sawit musnah

Dua rumah pekerja ladang sawit musnah dalam kebakaran di Borneo Samudera Langkon Sdn Bhd di Jalan Langkon, Kota Marudu. – Foto ihsan Polis

KOTA MARUDU: Tindakan pantas pasukan bomba mengawal kebakaran membabitkan dua rumah pekerja ladang sawit berjaya menyelamatkan 20 kediaman lain dalam kejadian di Jalan Langkon, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, dua rumah yang didiami lapan penghuni musnah 80 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kota Marudu, Rony Sikawan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.33 pagi.

“Seramai enam anggota bersama sebuah jentera dikejar ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, dua rumah pekerja ladang sawit sedang terbakar.

“Menurut laporan awal, api dipercayai bermula dari sebuah rumah di hujung sebelum merebak ke sebelah. Usaha mengawal kebakaran segera dilakukan sebelum merebak ke rumah lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rony berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan pasukannya berjaya menyelamatkan 20 rumah lain yang didiami lebih 40 penghuni.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.

“Operasi ditamatkan pada jam 3.57 pagi. Bagaimanapun, siasatan punca kebakaran masih dijalankan,” katanya. – Berita Harian

230