Budak maut digilis kereta

Keadaan lokasi kejadian kanak-kanak lelaki digilis kenderaan di Kampung Selagon Dua, semalam. Gambar Ihsan IPD Beaufort

BEAUFORT: Seorang kanak-kanak maut digilis kereta dalam kemalangan di Kampung Selagon 2, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa Muhammad Nuraizat Syah Danish Royhaizzath, 7, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Datsun yang dipandu lelaki berusia 40 tahun dan pejalan kaki iaitu seorang kanak-kanak lelaki.

“Hasil siasatan mendapati pemandu kereta dalam perjalanan dari Kampung Pintas menuju ke Pekan Beaufort. Namun sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang pejalan kaki disyaki melintas jalan dari arah kiri ke kanan.

“Pemandu tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa dan akibat kejadian itu mangsa terjatuh di jalan raya lalu tergilis dengan tayar depan sebelah kiri kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan medianya di sini, hari ini.

Azmir berkata, mangsa yang parah di bahagian kepala segera dibawa ke hospital oleh bapanya untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan selepas disahkan oleh pegawai perubatan hospital,” katanya.

Terdahulu, Azmir berkata, siasatan lanjut mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian pejalan kaki yang melintas jalan secara berbahaya.

“Tiada unsur jenayah dikesan dalam kemalangan ini namun siasatan lanjut masih diteruskan. Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *