Kesediaan kerajaan negeri teliti semula ordinan disifatkan khabar gembira

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung Datuk Osman Jamal – Gambar Media Social

TAWAU: Kesediaan kerajaan negeri meneliti semula tafsiran Ordinan Tafsiran (Definisi Anak Negeri) Bab 64 (1952 Pindaan 1992) disifatkan sebagai khabar gembira untuk orang Bugis, Jawa, Banjar dan yang setaraf dengannya.

Kegembiraan itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung Datuk Osman Jamal yang juga salah seorang tokoh Bugis dikenali di negeri ini.

Maklum-balas itu susulan kenyataan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Mokhtar bahawa kerajaan negeri mengambil perhatian berhubung perkara berkaitan.

Osman berkata, merujuk ordinan terbabit, Bugis dan kaum yang setaraf dengannya termasuk di dalam kategori Anak Negeri tetapi mesti memiliki Sijil Anak Negeri.

“Sebagai bekas Presiden Persatuan Komuniti Bugis Sabah, saya amat senang hati dengan kenyataan yang disampaikan oleh menteri,” katanya, di sini hari ini.

Osman menyifatkan perkembangan itu berita yang sangat bagus apabila kerajaan negeri membuka kembali peruntukan-peruntukan perundangan yang ada di Sabah.

Menurutnya, Bugis termasuk suku kaum yang termasuk di dalam Seksyen 2 (1) (d) ordinan terbabit yang boleh diterima sebagai Anak Negeri (secara bersyarat).

“Dahulu ada satu surat yang dikeluarkan semasa era kerajaan Berjaya untuk menidakkan hak mereka, tetapi hari ini mereka ‘dibebaskan’ dan diberikan hak.

“Mereka (orang Bugis dan lain-lain) boleh memohon menjadi Anak Negeri tetapi dengan syarat mereka memenuhi kriteria-kriteria yang sudah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata perkara itu dikatakan sudah menjadi amalan semenjak 1952 lagi sehinggalah kerajaan Berjaya mengeluarkan surat membekukan proses berkenaan.

Mengulas lanjut, hanya kaum yang tergolong sebagai Orang Asal seperti Dusun, Rungus, Murut, Bajau Sama, Sungai, Idahan dan lain-lain yang setaraf termasuk secara automatik sebagai Anak Negeri tanpa memerlukan Sijil Anak Negeri.

Sumber : Utusan Borneo
oleh AMIR ANUAR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *