Patah balik nak ambil beg

Suspek ditahan selepas merempuh pegawai JPJ di Jalan Tun Fuad Stephens.- FOTO Ihsan Polis

PENUNGGANG motosikal yang melarikan diri selepas merempuh seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya ditahan selepas dia datang semula ke lokasi kejadian untuk mengambil beg yang terjatuh.

Dalam kejadian 9.30 pagi semalam, pegawai berusia 41 tahun bersama 17 anggota JPJ menjalankan sekatan jalan raya di Jalan Tun Fuad Stephens berdekatan Taman Awam Teluk Likas, Kota Kinabalu.

Ketika itu, pegawai terbabit cuba menahan motosikal yang ditunggang suspek dengan menggunakan isyarat tangan untuk berhenti namun lelaki itu bertindak memecut sebelum merempuhnya.

Akibat kejadian itu, pegawai cedera ringan di muka, kaki dan punggung manakala suspek terus meninggalkan lokasi kejadian.

Bagaimanapun selepas setengah jam kemudian, suspek dikatakan datang semula ke lokasi untuk mengambil begnya yang terjatuh sebelum dia ditahan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan itu dan siasatan mendapati suspek tidak mempunyai lesen motosikal.

“Suspek berusia 20 tahun bersama motosikal ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *